Tuesday, 26 May 2020

Rasa Malu

[ma.lu] | مالو

Definisi : 1. = bermalu berasa aib (hina, rendah, dll) kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan, berasa tidak senang.

Pernah rasa malu?

Rasa sangat-sangat rendah dan tidak layak. 

Aku pernah. 

Bila di gelar Umat Rasulullah dalam masa yang sama aku juga seorang pendosa. Dijanjikan syurga oleh Allah tapi jalanku di dunia aku isi dengan sari yang nanti natijahnya neraka. Aku tidak ikut apa yang di ajar Rasulullah. Terlalu banyak lompong dalam ibadah. Terlalu hina untuk di beri keistimewaan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad. 

Aku tidak pernah rasa dada yang terlalu sesak menghimpit melainkan dengan dosa. Dosa yang terlalu banyak dan aku tidak mampu bilangkan. Dosa yang buat aku rasa malu untuk di gelar Umat Muhammad apatah lagi untuk berhadapan dengan Allah satu hari nanti. Sakit dada, sempit bila tersedar dengan sedarku yang cuma seketika! Langkah aku untuk berubah masih terlalu sedikit. Berpatah balik dari sebuah perjalanan alpa yang indah bukan sesuatu yang mudah. Kaki umpama di rantai dengan fatamorgana dunia, hingga gerakkan aku sangat perlahan dan lemah. Pastinya berkali-kali aku jatuh. Ada ketika hati sudah tidak mampu dan rasanya ingin mengalah.

Pandang tangan kita, berapa banyak dosa yang pernah tangan ini lakukan. Kaki? berapa langkah yang menuju ke arah kebaikan dan berapa pula langkah menuju ke lembah kehinaan? Lidah,mata, hati?! Allah, layakkah kami masuk ke syurga dengan dosa yang tidak terhitung. Sungguh hanya dengan ehsanMu aib kami tersembunyi. Kalaulah dosa itu umpama najis yang sangat kotor dan busuk pasti tiada siapa yang akan berani dekat dan menghampiri kami. Dan kalau tidak kerana ENGKAU sembunyikan aib kami, tidaklah kami di pandang mulia Ya Tawwab.

Aku malu.

Bukan aku ingin menceritakan dosaku pada dunia tapi aku ingin kongsikan rasa malu dek dosa pada mereka yang berdiri di ruang yang sama dengan ku ataupun mereka yang masih bertatih seperti aku. Andai malu ini buat aku terus mengejar Cinta Ilahi dan kasih Rasulullah, aku mau terus malu. Daripada aku terus melangkah sambil mendongak ke langit sedangkan diri dihias dengan kehinaan aku rela malu. Biar aku terus malu, meski berkali aku tergelincir moga rasa ini tetap di situ untuk sentakkan aku dari terus hanyut.

YA ALLAH,

Terima ibadah kami yang sedikit dan tidak sempurna ini. Masih memohon keampunanMu dan ehsan Mu meski dosa yang kami lakukan lebih banyak berbanding taubat nasuha padaMU. Kami malu ya Allah, malu merayu padamu dengan busuk dos yang kami bawa. Kami salah satu bukti bertapa kami sebagai hamba yang sifatnya lemah. Mudah hanyut dengan arus dunia, mudah lupa pada hakikat, sering alpa menegakkan syariat. Terima kami ya Rabb yang maha pengampun. Kami bukan hambaMu yang terbaik. Pilih kami sebagai hambaMu yang memakmurkan bumi dengan agamaMu. Pilih kami sebagai hambaMU yang ada menabur dakwah di dunia ini meski dengan tangan kerdil yang pernah terpalit noda. Pilih kami ya Rabb.

YA RASULULLAH,

Kurniakan kami syafaatmu kelak meski kami bukan umatmu yang terbaik. Sunnahmu banyak kami tidak buat, namun kasihmu tetap sama. Kami malu ya Rasullah. Malu kerana banyak menggunakan namamu di bibir semata tanpa bukti cinta padamu. Sekadar ucapan kecil di bibir sedang sunnahmu kami letak tepi. Terima kami Ya Rasulullah. 


No comments:

Post a Comment